Monday, October 13, 2008

Madinah sebelum Islam

Madinah yang merupakan pusat bermulanya Islam sebelum berkembang ke seluruh dunia di mana ia menjadi tempat kelahiran pertama masyarakat Islam. Oleh itu menjadi suatu kemestian untuk mendapat gambaran yang tepat mengenai kedudukan bandar ini dari segi peradaban, kemasyarakatan, ekonomi, hubungan antara qabilah, markaz Yahudi, ketenteraan dan juga suasana yang menjadikan bandar ini mewah dan kaya serta menjadi pusat pertemuan berbilang agama, pelbagai kebudayaan dan masyarakat. Ia berlainan dengan Mekah yang hanya mempunyai satu tabiat, satu agama yang dikongsi bersama oleh semua warganya. Madinah lebih banyak terdapat air, iklimnya lebih sejuk daripada Mekah dan tabiat penduduknya lembah-lembut sesuai dengan kehidupan kaum tani. Sebagai ringkasannya maka keadaan dan suasana Yathrib sebelum kedatangan Islam adalah sebagaimana fakta dan gambaran yang akan disebut dibawah.
a. Kaum Yahudi di Madinah
Menurut ahli sejarah kedatangan kaum Yahudi ke Yathrib selepas peperangan antarabangsa antara Yahudi dengan Rome pada tahun 70 masihi yang berkesudahan dengan musnahnya Palestin dan runtuhnya Haikal atau biara utama Yahudi di Baitul Maqdis. Kaum Yahudi ini terdiri daripada tiga qabilah yang terbesar iaitu qabilah Qainuqa’, al-Nadhir dan Quraidzah di mana hubungan antara ketiga-tiga qabilah tersebut amat tegang di mana berlaku peperangan sesama mereka yang berterusan sejak peperangan Bu’ath lagi. Mereka tinggal di pelabagi perkampungan khas seperti bani Qainuqa’ tinggal dalam bandar Madinah, bani Nadhor tinggal di sebelah atas luar Madinah di mana kawasan mereka subur dengan tanaman kurma dan tanaman bermusim manakala bani Quraidzah pula tinggal di kawasan yang bernama Mahzur yang jaraknya beberapa batu di selatan Madinah.
Kaum Yahudi memiliki beberapa kubu dan benteng serta kampung di mana mereka hidup berasingan dan berkelompok yang menyebabkan mereka tidak mampu mendirikan pemerintahan Yahudi sebaliknya terpaksa membayar ufti setiap tahun kepada ketua-ketua beberapa qabilan Arab sebagai perlindungan daripada pencerobohan Arab badwi.
Bangsa Yaudi menyifatkan diri mereka sebagai suatu bangsa yang ahli dalam pengetahuan agama dan syariat di mana mereka mempunyai pusat pengajian sendiri untuk perkara tersebut disamping belajar mengenai sejarah lampau mereka khususnya berkenaan rasul dan nabi mereka. Mereka juga mempunyai tempat khas untuk beribadat di mana disitulah mereka berkumpul untuk berbincang mengenai agama dan keduniaan mereka. Mereka juga mempunyai perundangan dan tatacara hidup tersendiri yang sebahagiannya diambil daripada kitab suci mereka dan sebahagian lagi dibuat oleh pendeta mereka. Disamping itu mereka mempunyai hari-hari perayaan tertentu, hari-hari tertentu untuk mereka berpuasa seperti hari ‘Asyura.
Hasil pendapatan mereka yang terbesar ialah mengambil keuntungan daripada gadaian barang dan riba. Keadaan Madinah sebagai kawasan pertanian memberi peluang kepada mereka bergiat dengan riba terutama daripada petani yang mendapatkan wang sementara menunggu musim menuai. Penggadaian bukan sahaja melibatkan wang atau mata benda sahaja tetapi wanita dan anak-anak juga dijadikan cagaran gadaian. Kaum Yahudi dapat menguasai ekonomi Madinah dan seterusnya dengan ekonomi yang kukuh mereka menguasai pasar-pasar tanpa bertimbang rasa, mereka menyorok barangan keperluan untuk mengaut keuntungan yang berlipat ganda sehingga mereka dibenci oleh masyarakat Arab setempat. Demi kepentingan ekonomi mereka membuat hubungan dengan kaum Aus dan Khazraj dengan mereka melaga-lagakan antara keduanya yang menyebabkan bangsa Arab lemah dan kaum Yahudi terus menguasai ekonomi Madinah.
Bahasa yang mereka guna ialah bahasa Arab tetapi turut bercampur dengan bahasa Ibrani. Manakala dari segi penyebaran agama Yahudi tidaklah meluas memandangkan mereka tidak berminat mengajak bangsa lain untuk menganut agama Yahudi.
b. Suku Kaum Aus dan Khazraj
Suku kaum Aus dan Khazraj merupakan penduduk berbangsa Arab yang mendiami Yathrib lanjutan daripada qabilah-qabilah al-Azdiyah di Yaman yang berpindah berulangkali dalam masa berbeza disebabkan banyak faktor antaranya kekacauan disebabkan serangan kajum Habshi di Yaman dan juga kemerosotan pengairan apabila robohnya Empangan Ma’rib. Mereka merupakan suku kaum yang mendiami Yathrib kemudian daripada kaum Yahudi.
Kaum Aus tinggal di selatan dan timur iaitu bahagian tinggi Yathrib yang merupakan kawasan pertanian yang subur manakala Kaum Khazraj berada di tengah sebelah utara iaitu bahagian rendah bandar yang merupakan kawasan kurang subur. Bilangan kaum Aus dan Khazraj mengikut perkiraan yang berdasarkan penyertaan mereka dalam peperangan selepas hijrah iaitu semasa penaklukan Mekah ialah 4000 orang.
Kedudukan kaum Arab di Yathrib di masa hijrah adalah kuat di mana merekalah yang menguasai urusan di situ. Berpecahan kaum yahudi menyebabkan mereka tidak mampu menyaingi bangsa Arab terutama ada daripada mereka yang bersama kaum Aus dan ada pula bersama kaum Khazraj. Namun begitu bangsa Arab suku Aus dan Khazraj turut berperang sesama mereka di mana perang Samir merupakan peperangan pertama dan diakhiri dengan peperangan Bu’ath lima tahun sebelum hijrah. Kaum Yahudilah yang melaga-lagakan mereka dan mendesak agar mereka berpecah dengan menanamkan semangat dengki. Akhirnya mereka tidak mampu menghadapi kaum Yahudi.Namun demikian , perancangan mereka disedari oleh bangsa Arab di mana mereka menggelarkan kaum Yahudi sebagai ‘musang’.
c. Kedudukan Geografi Bandar Madinah
Yathrib atau Madinah ketika hijrahnya nabi s.a.w ke sana terbahagi kepada beberapa buah daerah yang didiami oleh beberapa keturunan Arab dan Yahudi di mana setiap daerah terbahagi pula kepada dua bahagian iaitu bahagain pertama mengandungi tanah pertanian manakala bahagian kedua mengandungi benteng dan kubu pertahanan. Benteng pertahanan ini adalah penting bagi melindungi kaum wanita, anak-anak dan orang-orang lemah ketika diserang oleh musuh. Ia juga dijadikan tempat untuk menyimpan hasil tuaian dan buahan kerana Bandar Yathrib terdedah dengan tempat terbuka untuk musuh menyerang dan merampas harta benda dan ia juga dijadikan tempat menyimpan harta dan senjata. Disamping mempunyai biara untuk beribadat dan tempat pengajian di dalamnya, di dalam benteng ini dipenuhi dengan peralatan rumah yang mahal serta pelbagai kitab agama. Di situ juga kaum Yahudi berkumpul dan berbincang juga bersumpah dengan kitab suci mereka ketika melakukan sesuatu perjanjian atau muafakat.
Madinah dikelilingi banyak gunung-gunung batu Harrah yang menjadi benteng pertahanan daripada serangan musuh. Di sebelah utaranya terbuka untuk laluan sementara laluan lainnya dibentengi oleh pohon-pohon kurma yang tebal yang tidak mampu dilalui oleh tentera kecuali mengikut jalan-jalan sempit yang tidak sesuai bagi perjalanan tentera dan mengatur barisan. Bahagian-bahagian yang berhutan tebal dengan pohon-pohoin kurma itu merupakan tempat kawalan tentera yang tersembunyi dan cukup untuk mengkucar-kacirkan barisan tentera musuh dan menghalangnya daripada membuat serangan.
Alam semulajadi telah menjadikan Yathrib tanah lahar muntahan gunung berapi yang menjadikan buminya amat subur selain banyak jeram dan kawasan lembah yang dapat dapat menakung air bagi perairan kurma dan tanaman lain. Wadi menjadi tempat rekreasi Madinah di mana dari wadi ini mengalir air ke ladang. Selain itu tanah Yathrib begitu sesuai untuk digali perigi dalam ladang-ladang.
d. Keadaan Agama dan Kedudukan Kemasyarakatan di Madinah
Umumnya semua bangsa Arab mengikut pegangan agama kaum Quraisy dan penduduk Mekah memandangkan mereka sebagai penjaga Ka’abah dan juga sebagai pemimpin dalam agama dan sebagai ikutan dalam aqidah dan peribadatan. Mereka menyembah berhala Cuma hubungan mereka dengan sebahagian berhala seperti Manat lebih daripada yang lain terutama kaum Aus dan Khazraj.
Sebuah hadith riwayat Imam Ahmad daripada ‘Urwah daripada Sayyidatina ‘Aisyah yang menafsirkan ayat 158 surah al-Baqarah yang bermaksud :
Sesungguhnya berjalan antara Sofa dan Marwah itu sebahagian tanda-tanda taat kepada Allah maka sesiapa yang mengerjakan haji di Baitullah atau mengerjakan umrah, maka tiada kesalahan ia berulang alik di dua tempat itu….
Kata Sayyidatina ‘Aisyah mengenai ayat ini, maksudnya : Kaum Ansar sebelum memeluk Islam memuja berhala Manat yang rupanya garang di mana mereka sembah di Musyallal. Ada di antara mereka memuja berhala itu keberatan untuk bersa’ie di Sofa dan Marwah. Mereka bertanya kepada Rasulullah s.a.w : "Wahai Rasulullah! Kami keberatan untuk bersa’ie di Sofa dan Marwah pada masa jahiliyah dahulu". Lalu Allah menurunkan ayat di atas.
Penduduk Madinah tidak menyembah patung berhala secara meluas tidak seperti di Mekah dan sebenarnya orang-orang Madinah menyembah berhala hanya mengikut orang-orang Mekah.
Warga Madinah mempunyai dua hari perayaan iaitu hari Nauruz dan Maharjan yang mereka ambil daripada orang-orang Parsi untuk bersuka-suka tetapi setelah kedatangan Islam ia dihapuskan.
e. Keadaan Ekonomi dan Peradaban di Madinah
Bandar Yathrib atau Madinah merupakan bumi pertanian di mana kebanyakan penduduknya bergantung kepada hasil bertani dan berladang di mana hasil utamanya ialah kurma dan anggur. Pohon kurma banyak kegunaannya iaitu buahnya dijadikan makanan, batangnya dijadikan bahan bangunan, perusahaan kayu, bahan bakar dan makanan binatang ternakan. Jenis bijian yang merupakan makanan asas penduduk Yathrib ialah barli kemudian gandum dan juga banyak ditanam sayuran. Bagi mereka ada cara bertani, sewa tanah, Muzabanah iaitu menjual kurma yang masih ditandannya dengan kiraan sukat, Muhaqalah iaitu menjual hasil tanaman barli atau gandum yang masih ditangkainya dalam ladang juga dengan sukatan, Mukhabarah dan Muzara’ah di mana kedua-duanya hampir sama iaitu pembahagian hasil tanaman antara pengusaha dengan tuan tanah sepertiga atau seperempat tetapi benih diberikan oleh tuan tanah kepada pengusaha tanaman itu. Mukhabarah ialah benih yang disediakan sendiri oleh pengusaha manakala Mu’awanah pula ialah penjualan hasil buahan selama 2 atau 3 tahun atau pun lebih. Matawang Di Mekah dan Madinah adalah sama. Dalam urusan jual beli banyak digunakan sukatan di Madinah berbanding di Mekah kerana penduduk Madinah banyak bergantung kepada bijian dan buahan.
Kesuburan tanah Madinah masih tidak mampu menampung keperluan makanan penduduknya yang menyebabkan mereka mengimport tepung putih, minyak sapi dan madu dari Syam.
Kegiatan perniagaan memang ada walau pun tidak sehebat penduduk Mekah di mana warga lembah tanpa tanaman dan tanpa air yang mencukupi maka mereka bergantung hidup kepada aktiviti perdagangan pada musim panas dan musim sejuk.
Ada perusahaan pertukangan di Madinah yang kebanyakannya diusahakan oleh kaum Yahudi di mana pada umumnya Yahudi bani Qainuqa’ adalah tukang emas. Ada beberapa pasar di Madinah milik bani Qainuqa’ menjadi pusat jual beli barang perhiasan daripada emas begitu juga pasar jualan bijih-bijih benih. Kaum Yahudi sebagaimana diketahui lebih kaya daripada bangsa Arab di mana Arab dengan sifat kekampungan dan kurang berfikir serta boros dengan wang ringgit memaksa mereka bergadai dengan kaum Yahudi yang kebanyakkannya gadaian itu dikenakan riba berlipat ganda. Warga Madinah juga mempunyai harta kekayaan berupa unta, lembu dan kambing di mana mereka gunakan unta untuk pengairan tanaman. Beberapa padang ragut kepunyaan mereka di mana dari situlah mereka mendapatkan kayu api disamping mengembala binatang ternakan.
Madinah menjadi pengeluar tenunan daripada kapas dan sutera, bantal sandar beraneka warna dan tabir-tabir yang berlukis. Selain itu banyak peniaga minyak wangi menjual atar dan kasturi serta anbar dan raksa. Cara-cara jual beli pada masa itu ada yang dikekalkan oleh Islam dan ada yang dilarang seperti amalan menyorok barang, lelongan barangan di mana diberikan kepada mereka yang menawarkan harga paling tinggi, menyambut dan menemui penunggang-penunggang di luar Madinah, menjual susu yang masih berada dalam unta atau kambing, menjual dengan bayaran bertangguh, menjual dengan agak-agak sahaja dan lain-lain. Ada juga kaum Aus dan Khazraj yang berurusan dengan riba tetapi jarang berbanding kaum Yahudi. Warga Madinah juga membuat kerja menjahit, menyamak kulit, membina rumah, mengukir dan sebagainya yang terkenal di masa sebelum hijrah.

Tugasan utama di Madinah
Selepas diizinkan oleh Allah untuk berhijrah lalu Rasulullah s.a.w terus menuju ke Madinah dengan ditemani oleh Abu Bakar as-Siddiq dalam keadaan yang terancang perjalanannya. Ketibaan Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar disambut penuh meriah dan kegembiraan oleh penduduk Madinah terutama bagi mereka yang belum pernah melihat wajah baginda.Setelah berlangsungnya penghijrahan ini maka Rasulullah s.a.w telah mempunyai syarat yang cukup bagi menegakkan sebuah negara iaitu :
i . Bumi iaitu Madinah
ii . Rakyat iaitu para sahabat daripada kalangan Muhajirin dan Ansar serta orang bukan Islam yang bersedia untuk menjadi rakyat. Bagi orang-orang yang tidak bersedia maka mereka boleh keluar dari bumi Madinah
iii . Pemimpin iaitu Rasulullah s.a.w sendiri yang dipilih oleh Allah
iv . Perlembagaam iaitu al-Quran dan al-Hadith di mana ianya merupakan bahan rujukan yang kaya dan lebih daripada keperluan sebuah perlembagaan
v . Kedaulatan atau keperibadian sebagai sebuah negara wujud dengan ketinggian Islam itu sendiri
Bagi merealisasikan penubuhan Negara Islam maka Rasulullah s.a.w telah membina tapak yang kukuh dengan mewujudkan 3 bentuk hubungan yang penting iaitu :
1 . Hubungan dengan Allah
2 . Hubungan sesama umat Islam
3 . Hubungan umat Islam dengan orang bukan Islam dan negara bukan Islam dalam rangka menyampaikan risalah Islam serta menentukan sikap mereka terhadap Islam
Bagi menjayakan ketiga-tiga asas tersebut maka Rasulullah s.a.w telah menjalankan tugas pertama dan utama iaitu sebagaimana di bawah :
Pertama : Membina Masjid
Ia bertujuan merapatkan hubungan umat manusia dengan Allah di mana masjid merupakan syiar penting bagi Islam. Masjid menjadi asa kukuh kepada pembinaan masyarakat dan negara Islam kerana keteguhan masyarakat Islam berteraskan kepada ikatan ‘aqidah yang kuat kepada ajaran Islam. Ia bersumber dan terpancar dari masjid yang penuh dengan keberkatan. Disamping itu masjid juga menjadi tempat bagi menjalinkan persaudaraan Islam yang kukuh menurut adab-adabnya.
Rasulullah s.a.w telah memilih tapak masjid yang pertama adalah tanah di mana tempat baginda berhenti dan turun dari unta yang ditungganginya. Tanah itu dimiliki oleh 2 orang anak yatim yang dibeli lalu didirikan masjid.
Kedua : Persaudaraan Islam
Ia merupakan tunjang utama dalam memastikan keamanan dan kestabilan serta keutuhan negara Islam yang dibina. Jika sebelum Hijrah dan memeluk Islam suku Aus dan Khazraj saling bermusuhan sesama mereka tetapi dengan datangnya Islam mereka bukan sahaja menamatkan permusuhan mereka tetapi turut menerima orang Muhajirin sebagai saudara mereka.Persaudaraan yang melampaui hubungan kekeluargaan, keturunan, warna kulit, tanah air dan bangsa dengan berdasarkan taqwa dan maruah kemanusiaan ini telah berjaya merubah segala-galanya. Betapa eratnya erti persaudaraan ini sehingga diriwayatkan oleh imam Bukhari dalam kitab Sohehnya :
" Setelah mereka tiba di Madinah, Rasulullah s.a.w telah mempersaudarakan di antara Abdul Rahman bin ‘Auf dengan Sa’ad bin Rabi’. Sa’ad telah berkata : " Saya adalah orang yang paling kaya di kalangan Ansar maka marilah kita bahagi dua harta itu. Saya mempunyai dua isteri maka pilihlah yang mana satu awak suka supaya ceraikannya di mana apabila selesai ‘iddahnya maka kahwinilah dia". Abdul Rahman bin ‘Auf menjawab :" Mudah-mudahan Allah memberkati keluarga dan hartamu, tunjukkanlah kepada saya di mana pasar kamu".
Di peringkat awal persaudaraan itu sampai ke peringkat boleh menerima pusaka apabila salam seorang daripada mereka meninggal dunia sehinggalah Allah memansuhkan dengan ayat pusaka. Umat Islam yang bersaudara itu mempunyai kedudukan yang teguh dan aqidah yang kuat menjadikan mereka golongan yang berkuasa dalam masyarakat majmuk yang majoritinya terdiri daripada orang bukan Islam.
Ketiga : Piagam Madinah
Ia yang dikenali dengan Sahifah Madinah merupakan suatu perlembagaan yang penting dalam mewujudkan negara yang teratur organisasi pertadbirannya dan terjamin keamanan dalaman dan luaran. Kesimpulan daripadanya ialah :
i. Termeterainya perjanjian persaudaraan di kalangan Muhajirin dan Ansar
ii. Ikatan persaudaraan di kalangan setiap individu Muhajirin dan Ansar
iii. Kedudukan orang bukan Islam yang bersedia untuk menjadi rakyat negara Islam di mana Rasulullah s.a.w diberi pilihan dalam menghadapi Yahudi samada menyelesaikan masalah mereka yang tidak berhubung dengan peraturan umum jika dirujuk atau menyerahkan masalah itu kepada mereka mengikut peraturan mereka. Tetapi dalam masalah yang berhubung dengan peraturan umum, mereka hendaklah tunduk kepada hokum Islam. Orang bukan Islam bebas menganut agama mereka dan melakukan perkara yang dibolehkan oleh agama mereka yang tidak menjejaskan kepentingan umum seperti istiadat perkahwinan, undang-undang keluarga dan sebagainya
iv. Pengisytiharan negara Madinah sebagai negara Islam secara terus terang dan menyampaikan risalahnya ke seluruh pelusuk dunia. Pengisytiharannya dinyatakan kepada seluruh rakyat samada Islam atau tidak di mana bagi Islam masing-masing mempunyai tanggungjawab dalam menegakkan negara Islam. Bagi orang bukan Islam, mereka mempunyai kewajipan untuk ta’at kepada negara Islam tanpa paksaan dengan diberi hak sewajarnya. Pernyataan terbuka ini juga menentukan sikap negara-negara lain samada menerima Islam dan menjadi sebahagian daripada negara Islam atau pun berdamai dan tidak menyekat dakwah Islam atau pun mengambil sikap bermusuh dengan Islam.
v. Meletakkan hukum yang tertinggi ialah hukum Allah iaitu al-Quran dan Rasulullah s.a.w iaitu as-Sunnah
vi. Rasulullah s.a.w bertindak sebagai ketua negara dan meletakkan dasar bahawa kepimpinan negara seterusnya mestilah orang Islam .

Kesan hijrah terhadap Madinah
Antara kesan perubahan yang kita dapat lihat melalui pemerhatian kepada usaha yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan dibantu oleh kaum muslimin yang lain apabila tertegaknya negara Islam ialah sebagaimana berikut:
i . Sosial atau pergaulan hidup di mana hubungan antara penduduk Madinah semakin rapat antara mereka terutama sesama Islam dengan usaha di dalam mempersaudarakan mereka dan juga termeterainya piagam Madinah. Tiada lagi permusuhan yang teruk disebabkan bangsa dan keturunan disamping hubungan baik antara muslimin dan bukan Islam juga berjalan baik
ii . Ekonomi atau hubungan manusia dengan material di mana berkembang dengan baik dengan dibuangkan amalan riba dan amalan yang menindas serta kepentingan diri sendiri dengan wujudnya system ekonomi Islam yang menjamin kestabilan dan keadilannya. Islam telah memuliakan penduduk Madinah yang dianggap lemah dan miskin oleh penduduk Mekah sebelum ini kerana kebanyakan mereka hanya mengharap kepada hasil pertanian sahaja.
iii . Politik iaitu hubungan manusia dengan kekuasaan dalam mengatur sosial dan ekonomi di mana mempunyai stuktur pentabdiran yang tersusun dengan Rasulullah s.a.w sendiri menjadi pemimpin. Sebelum ini mereka tidak mampu membentuk pentadbiran tersendiri kerana perbalahan sesama sendiri. Disamping itu Rasulullah s.a.w telah menyusun ketenteraan bagi tujuan keselamatan daripada musuh dalaman dan luaran. Kegemilangan Madinah sebagai sebuah negara berdaulat turut menggerunkan kuasa besar Rom dan Parsi pada masa itu. Hubungan antara Madinah dengan negara lain turut dapat dilihat melalui penghantaran warkah dakwah Islam kepada mereka.Penekanan dan pengamalan sistem syura yang menjaminkan kesaksamaan dan keadilan.
iv . Pengetahuan iaitu hubungan manusia dengan kebenaran, teknik, hubungan manusia dengan kerjaya di mana Islam memang menekankan ilmu pengetahuan kepada umatnya. Al-Quran itu sendiri menjadi rujukan utama dan Rasulullah s.a.w sebagai guru yang paling unggul.
v . Agama iaitu hubungan manusia dengan Allah di mana selepas melihat bagaimana adilnya Islam dan kebenarannya maka ramai penduduk Madinah memeluk Islam sehingga wujudnya kekuatan dari segi kuantiti dan kualiti. Islam telah menghancurkan sifat buruk mereka dengan digantikan dengan sifat terpuji. Islam telah memuliakan kedudukan wanita yang dianggap hina oleh masyarakat sebelum ini. Mereka tidak lagi terikut-ikut amalan penyembahan berhala yang tidak benar apabila Islam menerangkan tentang kesesatan mereka sebelum ini
Kesimpulan
Kita dapat melihat dengan jelas bagaimana Islam mampu merubah sosiobudaya di Madinah daripada kurang terserlah keagungannya kepada kegemilangan sehingga menjadi kuasa besar baru pada masa itu. Perubahan yang dilakukan begitu jelas dan banyak sehingga mampu menarik ramai orang untuk memeluk Islam atau berada di bawah naungan keadilan dan kebenaran Islam.Perubahan sosiobudaya yang hanya berteraskan material sehingga timbulnya penindasan dan perhambaan sesama manusia kepada keselarian antara ketamadunan gemilang berteraskan material dan kerohanian. Perubahan daripada kesempitan hidup dan perpecahan kepada keluasan dan kesatuan dalam bermasyarakat tanpa dihalang oleh semangat kebangsaan yang sempit dan kefanatikan beragama. Perubahan daripada kegelapan jahilian kepada cahaya ilmu pengetahuan dan keimanan. Kita mengharapkan perubahan sosiobudaya yang dilakukan oleh Islam ini mampu kita rasai keindahan dan kemanisannya dengan memastikan Islam mampu dilaksanakan sepenuhnya. Kefahaman kita mengenai kejayaan Islam di dalam merubah sosiobudaya di Madinah yang mempunyai penduduk yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama ini adalah penting di dalam memberi kefahaman dan kesedaran untuk umat Islam dan bukan Islam di negara kita. Biasanya seseorang itu akan memusuhi sesuatu yang dia tidak tahu. Oleh itu penjelasan dan penerangan mengenai perkara ini kepada masyarakat dapat menangani kesangsian dan pandangan negatif terhadap hubungan rapat antara Islam dengan sosiobudaya.

3 comments:

Vien AM said...

izin copas pak ya, jazakillah ...

Lokman Mikaela said...

Bagusnya blog ni mampu untuk menambahkan pengetahuan saya tentang sejarah pendudukan masyarakat di kota Madinah ni.Tambahan pula saya sebagai pelajar sekolah yang hendak menghadapi peperiksaan.
B-)

Lokman Mikaela said...

Terima Kasih semoga bertambah dan bercabang sumber pahala yang diperoleh.